Ibu Didakwa Lakukan Amang Seksual Pada 2 Anak Lelaki
Ibu Didakwa Lakukan Amang Seksual Pada 2 Anak Lelaki, Arah Rakam Video Pornografi Kanak-Kanak
Wanita itu berdepan hukuman penjara 105 tahun dan enam sebatan atas empat pertuduhan.
Hari ini (15 Mei), seorang ibu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas empat pertuduhan termasuk melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak lelakinya pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, ibu kepada lima anak itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.
Lakukan amang seksual ketika anak berusia 14 dan 12 tahun
Tertuduh yang berusia 33 tahun didakwa melakukan amang seksual terhadap dua anak lelakinya yang ketika itu berusia 14 dan 12 tahun di sebuah unit pangsapuri di Alam Perdana, Puncak Alam kira-kira jam 8.00 malam, November 2022.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menghisap kemaluan kanak-kanak berusia 12 tahun bagi tujuan seksual.
Untuk pertuduhan kedua pula, wanita itu didakwa membuat perkara sama terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun, lapor Malaysia Gazette.
Bagi pertuduhan ketiga pula, dia yang juga seorang suri rumah didakwa menyuruh kanak-kanak berusia 14 tahun itu untuk memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan tertuduh bagi tujuan seksual.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan hukuman sebat bagi setiap pertuduhan.
Mengaku tak bersalah arah rakam video lucah terhadap anak perempuan 15 tahun
Selain tiga pertuduhan itu, wanita itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengarahkan pembuatan video lucah terhadap anak perempuannya yang ketika itu berusia 15 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh pada jam 2.00 pagi, Februari 2022.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan hukuman sebatan.
Mahkamah tidak benarkan sebarang jaminan
Semasa prosiding dijalankan, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ayuni Jamri dan Nurul Izzati Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan alasan mangsa adalah kanak-kanak selain mempunyai hubungan keluarga dengan wanita tersebut.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jun depan.
Kenalan wanita turut didakwa sengaja amang seksual kanak-kanak perempuan
Dalam pada itu, seorang kenalan wanita berkenaan iaitu seorang penarik kereta berusia 22 didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Tertuduh, Haddad Radhi, didakwa melakukan kesalahan itu juga di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh pada waktu dan hari yang sama iaitu sekitar jam 2 pagi, Februari 2022.
Dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Wanita ditahan polis lepas disyaki lakukan amang seksual terhadap anak lelakinya
Pada 4 Mei lalu, media melaporkan seorang wanita ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya yang berusia 14 tahun di Puncak Alam.
Selang beberapa hari kemudian iaitu pada 10 Mei, wanita terbabit ditahan sekali lagi untuk siasatan satu lagi kes sama di sekitar Sungai Buloh.
Comments
Post a Comment