CHINA BERMINAT MELABUR DI MALAYSIA
BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini mengetuai delegasi Malaysia menghadiri sesi mesyuarat meja bulat bersama pelabur berprofil tinggi dan juga tokoh korporat China.
Sesi tertutup yang berlangsung selama kira-kira sejam itu dijangka membuahkan manfaat besar dari segi perdagangan dan pelaburan, khususnya yang membabitkan komitmen pelabur dari China.
Selesai sesi meja bulat itu, ia kemudian diikuti dengan Forum Perniagaan Malaysia-China, membabitkan kehadiran 1,000 peserta dari kedua-dua negara yang dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan.
Di penghujung forum perniagaan berkenaan, sekurang-kurangnya 19 Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangni antara syarikat Malaysia dan China.
Di sebelah petang pula, Perdana Menteri akan diraikan rakan sejawatannya, Li Qiang pada upacara sambutan rasmi di Rumah Besar Rakyat di sini.
Ia kemudian disusuli dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin, dengan tumpuan perbincangan terarah kepada pemerincian langkah-langkah yang boleh diambil khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Di akhir mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian sekurang-kurangnya tiga lagi MoU.
China rakan dagang Malaysia yang terbesar semenjak 2009, dengan nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada tahun lalu sudah mencecah 17.1 peratus dari jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan China bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM487.13 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.
Jumlah eksport ke China pula meningkat sebanyak 9.4 peratus berjumlah RM210.62 bilion (AS$47.84 billion), manakala, jumlah import daripada China mencatatkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus berjumlah RM276.50 billion (USD62.78 billion), berbanding tahun sebelumnya.
Nilai pelaburan daripada China pula bernilai RM9.6 billion (AS$2.2 billion) yang telah membuka peluang pekerjaan kepada 6,193 orang tahun lalu.
Comments
Post a Comment