SOLAT TERAWIH 30 RAKAAT DAPAT DUIT RAYA
Masjid At Taqwa Kongsi Balik Pulau menganjurkan Program Kasih Anak-Anak Ramadan yang menawarkan duit raya RM100 untuk kanak-kanak yang berjaya menghabiskan solat tarawih selama 30 hari.
BALIK PULAU - Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kariah masjid di negeri ini untuk mengimarahkan masjid terutamanya pada bulan Ramadan.
Tidak ketinggalan Masjid At Taqwa Kongsi Balik Pulau yang menganjurkan Program Kasih Anak-Anak Ramadan bermula pada 1 Ramadan lalu.
Menurut Pengerusi Kariah Masjid At Taqwa Kongsi, Yuskamarul Anuar Yusop, program yang menawarkan ganjaran duit raya sebanyak RM100 itu baru diperkenalkan pada tahun ini.
Katanya, idea penganjuran program itu dicetuskan oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid tersebut dalam usaha menggalakkan orang ramai termasuk kanak-kanak untuk beribadat di masjid.
"Ini adalah kali pertama program seperti ini dibuat di masjid ini. Idea dicetuskan oleh AJK masjid dan syukur apabila ada seorang individu yang bermurah hati sudi menyumbang wang untuk menjayakan program ini.
"Program ini terbuka kepada semua kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah. Mereka yang berjaya menghabiskan solat tarawih secara berjemaah selama 30 hari berturut-turut, akan diberikan wang tunai RM100 pada malam raya.
"Kanak-kanak yang hadir melengkapkan lapan rakaat tarawih, perlu mendaftarkan diri selepas solat di pejabat masjid setiap hari. Rekod ini akan disimpan untuk pemberian duit raya nanti," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Yuskamarul berkata, setakat Jumaat, seramai 100 kanak-kanak yang terdiri 80 lelaki dan 20 perempuan telah menghabiskan tiga malam solat tarawih.
"Setakat semalam (Jumaat), sambutan amat menggalakkan. Masjid pun penuh. Peserta paling muda adalah tujuh tahun dan paling tua, 17 tahun. Kita boleh lihat kanak-kanak ini bersemangat untuk datang ke masjid untuk beribadat, bukannya untuk suka-suka.
"Ini lah objektif kita, menanam semangat beribadat di masjid sejak dari usia muda lagi. Dengan sambutan yang menggalakkan, kita bercadang untuk meneruskan program ini untuk tahun-tahun seterusnya, dan mungkin ada penambahan dalam pelaksanaan program agar lebih menarik, Insya-ALLAH," katanya.
Mengulas mengenai cara untuk mengendalikan kanak-kanak yang hadir, Yuskamarul berkata, setiap malam beliau akan memberi taklimat pendek kepada kanak-kanak yang hadir agar menjaga adab ketika berada di dalam masjid.
"Seperti yang kita tahu, kanak-kanak ni, mereka tidak faham dengan adab ketika berada di dalam masjid. Kadang-kadang mereka tidak tahu pun kelakuan mereka itu akan mengganggu jemaah yang lain.
"Oleh itu, setiap malam, sebelum solat tarawih, saya akan beri taklimat terlebih dahulu. Saya letakkan syarat agar jangan buat bising kerana akan mengganggu jemaah dewasa yang lain.
"Alhamdulillah, ada perubahan daripada malam pertama, mula-mula ada bising juga, malam kedua, kurang dan seterusnya malam tadi (Jumaat), dah tak ada yang bising," katanya.
Ujar beliau, pihak masjid mensasarkan sehingga 150 penyertaan kanak-kanak dalam program khas sempena Ramadan itu.
"Kita sasar 150 orang tetapi jika lebih, kita tetap akan tunaikan janji iaitu pemberian duit raya kepada mereka yang berjaya menghabiskan solat tarawih secara berjemaah 30 hari berturut-turut.
"Bagaimanapun, sekiranya ada kanak-kanak menyertai program pada hari ketiga atau keempat, kita akan pertimbangkan mengikut jumlah keseluruhan hari yang dia hadir," katanya
Comments
Post a Comment