MALAYSIA TELAH RUGI RM4.6 TRILION DALAM MASA 26 TAHUN AKIBAT RASUAH- PMX
MINGGU lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi kerajaan untuk menyiasat laporan kerugian berjumlah RM4.5 trilion akibat ketirisan dalam tempoh 26 tahun lalu.
Angka RM4.5 trilion amat besar, 11.6 kali ganda lebih daripada bajet negara dalam satu tahun.
Dengan sedikit penyiasatan dan pengiraan terhadap laporan yang diterbitkan oleh EMIR Research, dakwaan bahawa ketirisan mengakibatkan kerugian jumlah sebesar itu sebenarnya tidak mempunyai asas kukuh.
Sebagai contoh, kajian tersebut menyatakan bahawa anggaran kerugian akibat rasuah bernilai RM572 bilion pada tahun lalu dan ia bersamaan dengan 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau dikenali sebagai Gross Domestic Product (GDP).
GDP yang merupakan persoalan teras untuk mana-mana ahli ekonomi bagi memahami keadaan ekonomi sesebuah negara dipecahkan mengikut sektor ekonomi dan kategori perbelanjaan.
Berdasarkan laporan Kementerian Kewangan tahun lalu, perbelanjaan negara pada 2022 bersamaan 21.2 peratus daripada GDP termasuk dana khas pandemik Covid-19.
Secara logik, perbelanjaan negara tidak boleh melebihi angka kerugian akibat rasuah dan ketirisan yang didakwa kerana sekiranya hipotesis itu benar, maka Malaysia sudah terjerumus dalam keadaan huru-hara dengan gaji serta pencen pekerja-pekerja awam dan bil elektrik serta bil air tidak dibayar.
Dalam perbelanjaan negara setiap tahun, kira-kira 70 peratus merupakan perbelanjaan operasi dan yang lain adalah perbelanjaan pembangunan. Oleh itu, pengiraan kajian EMIR Research yang menunjukkan peratus GDP yang hilang akibat ketirisan adalah tidak tepat kerana faktor penggandaan digunakan terlalu besar.
Comments
Post a Comment