Kajian- Anwar Ibrahim pilihan paling popular jadi PM
SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu merupakan pilihan tertinggi sebagai individu yang paling sesuai menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Dapatan tersebut adalah hasil kaji selidik oleh pusat penyelidikan pendapat awam, Endeavour-MGC yang didedahkan pada Selasa.
Kajian itu menggunakan persampelan rawak berstrata membabitkan 1,068 responden, 791 daripadanya adalah responden Melayu.
Menurut Endeavour-MGC, 46 peratus responden daripada semua kaum dan 32 peratus responden Melayu mahu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memimpin negara untuk tempoh sekarang.
Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjadi pilihan kedua sebagai Perdana Menteri apabila mendapat undian 25 peratus responden Melayu dan 17 peratus responden semua kaum.
Tambah dapatan itu lagi, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menduduki tangga ketiga dan diikuti bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sementara itu, PH menjadi gabungan pilihan tertinggi yang akan diundi jika pilihan raya umum (PRU) diadakan esok dengan undian 39 peratus daripada keseluruhan responden.
Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pula masing-masing memperoleh 17 peratus undian daripada semua kaum.
Bagaimanapun bagi responden Melayu, PN yang dianggotai parti Bersatu, Pas dan Gerakan berada di kedudukan teratas dengan undian sebanyak 26 peratus manakala BN di tangga kedua dengan 24 peratus diikuti PH 20 peratus.
Mengenai pertimbangan yang akan diambil kira sebelum mengundi sesebuah parti, isu agama adalah faktor paling utama dengan responden Melayu merekodkan 30 peratus manakala semua kaum sebanyak 22 peratus.
Tambah kajian itu, isu calon pula menjadi faktor pilihan kedua dengan masing-masing responden Melayu dan semua kaum memberikan undian 27 peratus.
Tinjauan pendapat itu dijalankan dari 4 hingga 18 April lalu dengan margin kesilapan keputusan adalah antara tiga dan 3.5 peratus berdasarkan bilangan pemilih berdaftar di Semenanjung setakat Jun 2022. Kesemua responden adalah pengundi berdaftar.
Dari segi demografi gender dan kaum, jumlah responden lelaki dan wanita masing-masing 50 peratus manakala kaum Melayu mewakili 62.2 peratus, Cina (28.7 peratus), India (8.2 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).
Kesemua mereka berumur antara 18 hingga 60 tahun ke atas dengan golongan yang berumur 30 hingga 39 tahun adalah paling ramai iaitu 26 peratus.
Dari segi pendapatan pula, 71 peratus adalah daripada kumpulan B40, M40 (27 peratus) dan T20 (2 peratus).
Sebelum ini, tinjauan persepsi oleh Merdeka Center ke atas 1,209 responden dari 26 Disember 2022 hingga 15 Januari lalu mendapati 68 peratus berpuas hati dengan prestasi Anwar selepas dua bulan menerajui negara pasca-PRU15.
Bagaimanapun, kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan menyaksikan Anwar menduduki tempat kedua di belakang Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dari segi populariti. Anwar memperoleh 40 peratus undi berbanding 49 peratus undi bagi Anthony.
Kaji selidik dalam talian itu dijalankan secara bersama oleh media-media arus perdana termasuk Sinar Harian dan firma penyelidikan O2 Research membabitkan lebih 36,000 responden.
Majoriti puas hati kestabilan politik di bawah Kerajaan Perpaduan
Sementara itu, sebanyak 53 peratus responden dalam satu tinjauan pendapat mengakui berpuas hati dengan kestabilan politik di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kaji selidik itu dijalankan oleh pusat penyelidikan pendapat awam, Endeavour-MGC membabitkan 1,068 responden pelbagai kaum dengan 791 daripadanya adalah responden Melayu yang dipilih melalui persampelan rawak berstrata.
Berdasarkan hasil dapatan itu juga, 45 peratus responden Melayu berpuas hati dengan kestabilan politik, sementara hanya lapan peratus daripada semua kaum dan empat peratus responden Melayu masing-masing menyatakan sangat berpuas hati.
“Berkait dengan isu memerangi rasuah, sebanyak 48 peratus daripada semua kaum berpuas hati manakala 43 peratus sahaja responden Melayu memberikan respons sama.
“Bagi isu agama pula, 64 peratus responden semua kaum berpuas hati, 10 peratus sangat berpuas hati, 17 peratus tidak berpuas hati, lima peratus sangat tidak berpuas hati manakala empat peratus lagi tidak tahu.
“Sebanyak 57 peratus Melayu turut berpuas hati dengan isu agama, dengan lapan peratus sangat berpuas hati, tidak berpuas hati (24 peratus), sangat tidak berpuas hati (tujuh peratus), manakala tidak tahu (empat peratus),” menurut kajian berkenaan.
Kajian Endeavour-MGC itu yang disiarkan pada Selasa turut mendapati 49 peratus dan 47 peratus, masing-masing daripada responden semua kaum dan Melayu, berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Kerajaan Perpaduan terhadap isu perubahan iklim dan alam sekitar.
Hasil kajian itu juga mendapati 44 peratus responden semua kaum dan 39 peratus responden Melayu bersetuju dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.
Siapa paling layak jadi Perdana Menteri?
Datuk Seri Anwar Ibrahim
46% (32%)
Tan Sri Muhyiddin Yassin
17% (25%)
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
6% (9%)
Khairy Jamaluddin
6% (6%)
Datuk Seri Najib Tun Razak
4% (6%)
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
3% (5%)
Tan Sri Abdul Hadi Awang
2% (3%)
Datuk Seri Azmin Ali
2% (2%)
Lim Guan Eng
2% (0%)
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
1% (2%)
Nota: % dalam tanda kurung ialah responden Melayu sahaja.
Sumber: Kajian Endeavour-MGC (April 2023)
Comments
Post a Comment