Menteri Pendidikan tidak serius isu Palestin

 

Menteri Pendidikan tidak serius isu Palestin




KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, kesal dengan tindakan Menteri Pendidikan yang menjadikan tiga minit terakhir penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini, untuk mengupas isu Minggu Solidariti Palestin.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan masa tidak cukup untuk mengungkapkan segala-galanya berhubung garis panduan berkaitan Minggu Solidariti Palestin yang perlu diikuti oleh setiap sekolah.

“Kita kesal dengan cara Menteri Pendidikan membuat penggulungan tadi yang kita melihat bahawa beliau tidak serius sebenarnya membangkitkan isu ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menegur Menteri Pendidikan supaya lebih serius mengenai perkara itu dan tidak berlakon dengan menampilkan emosi yang tidak sepatutnya atas nama isu Palestin.

Katanya, seharusnya tidak ada sebarang isu dalam laungan takbir dan bacaan Qunut Nazillah memandangkan ungkapan tersebut telah diterima sebagai satu ungkapan yang seorang muslim boleh menyebutnya pada bila-bila masa.

“Malah, Perdana Menteri sendiri menyebutnya dalam solidariti di Axiata Arena beberapa hari yang lepas,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Pendidikan sangat tidak serius untuk membangkitkan isu ini, bahkan langsung tidak menyentuh 12 Ahli Parlimen dalam partinya sendiri (PKR) yang menggesa supaya Minggu Solidariti Palestin dikaji semula.

Katanya, perkara tersebut perlu diberikan perhatian yang lebih terperinci oleh Menteri Pendidikan dan bukan isu siapa yang paling lantang membela Palestin.

“Kita ingatkan sekali lagi jangan politikkan isu ini dan jangan menghukum sekolah-sekolah, guru-guru yang terlibat yang telah pun disentuh maruah mereka oleh Yang Berhormat Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan) sendiri,” tegasnya.


Comments

Popular posts from this blog

Kisah Kenapa Buaya Di Pahang Tidak Makan Orang

Kisah Benar : Isteri Terlanjur Dengan Suami Orang Bermula dari Media Sosial

Ibu Didakwa Lakukan Amang Seksual Pada 2 Anak Lelaki